CUTI

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
    Setelah hampir seminggu cuti sempena sambutan Tahun Baru Cina, kini telah tiba masanya untuk kami pelajar Kolej Permata Pintar pulang kembali ke asrama. Sepanjang cuti persekolahan ini, saya banyak menghabiskan masa dengan menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru-guru di samping meluangkan masa bersama keluarga.

    Namun, disebabkan kepulangan kakak saya dari Mesir sempena cuti semester, kami sekeluarga meluangkan masa selama beberapa hari bersama-sama pergi ke pusat membeli belah bagi menghilangkan rasa bosan semasa berada di rumah. Selepas seharian meluangkan masa, aku tetap kembali ke pangkal jalan untuk menyiapkan segala tugasan yang telah diberikan oleh guru-guru.

      Hari demi hari, debaran untuk menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia semakin kuat. Persiapan masih lagi tidak sempurna. Aku tetap menabahkan diri agar tidak berpaling daripada perkara yang ingin dilakukan. Pada hari sebelum mendaftarkan diri ke hostel, keluarga sepupu saya dari Kuantan telah datang melawat kami sekeluarga kerana sudah lama tidak berjumpa disebabkan oleh kesibukan kedua-dua keluarga.

     Jadi, rumah saya riuh buat sementara waktu kerana sepupu saya kebanyakannya berumur 3 hingga 6 tahun. Dengan keriuhan yang dialami, kami sekeluarga berasa sangat gembira kerana sudah lama rumah kami tidak riuh seperti itu memandangkan semua ahli keluarga saya sudah matang.

    Cuti ini agak menyeronokkan dan kami dapat bersama-sama berkumpul dalam satu keluarga kerana masing-masing sibuk dalam menamatkan pengajian. Sekian, terima kasih.
   

HARI YANG INDAH

   Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Pada pagi yang mulia ini, rutin harian dilakukan seperti biasa. Walaupun mata ini tetap berat untuk dibuka, namun aku menggagahkan diri. Sepanjang minggu ini, banyak aktiviti yang dilakukan dan menyebabkan kebanyakan pelajar kelihatan lesu dan tidak bermaya. Selepas bersiap sedia untuk ke sekolah, aku pun segera pergi ke dewan serbaguna iaitu sebagai tempat perhimpunan harian kami.
    Perhimpunan berjalan seperti biasa. Kemudian, pelajar baharu dikehendaki tinggal di dewan serbaguna bagi slot orientasi manakala pelajar lama dikehendaki segera masuk ke dalam kelas. Untuk slot orientasi pada pagi ini, pelajar baharu Tahap 1 dan Asas 1 dikehendaki membawa beberapa helai baju dan seluar untuk sesi tatarias. Saya dan rakan-rakan yang lain pula bergegas ke blok akademik untuk memulakan sesi pembelajaran.
    Kami mempunyai subjek Bahasa Inggeris. Bagi subjek tersebut, kami dikehendaki melakonkan sebuah drama iaitu drama yang kami telah berlatih semalam. Setelah selesai lakonan drama tersebut, kami mendapat pujian daripada Puan Noorlin kerana idea penceritaan yang menarik walaupun ia tidak akan berlaku di dunia realiti. Kami juga berpuas hati dengan lakonan yang telah dilakonkan.
    Selepas itu, kami mempunyai subjek Fizik yang diajar oleh Cikgu ARHO. Cara penyampaian ilmu daripada Cikgu ARHO sangat menyeronokkan serta diselitkan dengan pelbagai lawak daripada beliau. Kemudian, kami diminta untuk pergi ke auditorium bagi memeriahkan lagi sesi talentshow bagi pelajar baharu. Pelbagai jenis persembahan telah dipersembahkan seperti nyanyian, drama, pantomin dan tarian.
    Berbagai-bagai ragam dapat kami lihat daripada program tersebut. Persembahan-persembahan mereka juga agak menarik. Setelah itu, pelajar baharu akan mengikuti majlis penutup bagi sesi orientasi mereka. Kami pergi menikmati makan tengah hari di dewan makan. Pada pukul 2, memandangkan subjeknya ialah subjek Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah dan saya tidak mengambilnya kerana ia salah satu subjek elektif. Saya dan rakan-rakan yang lain pergi ke kelas yang kosong.
    Selepas itu, kami menpunyai subjek Kalkulus. Cikgu Aqilah sentiasa tabah mengajarkan kami subjek itu dan menerangkan setiap rumus yang tidak difahami. Pada waktu malam pula, selepas isyak, pelajar baharu dikehendaki tinggal di dewan serbaguna bagi sesi taklimat mengenai asrama. Semua felo dan warden turut serta dalam sesi tersebut. Kami mengharapkan semua pelajar mengikut arahan yang telah ditetapkan. Sekian, terima kasih.
   

BERMULANYA DI SINI

   Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Hari ini merupakan hari yang agak memenatkan.
Pada awal pagi, saya meneruskan rutin harian seperti biasa. Selepas perhimpunan, kami mengikuti kelas pembelajaran seperti biasa iaitu dengan subjek Kimia yang diajar oleh Cikgu Md Nor. Waktu Kimia pada hari ini amat menarik kerana kami membuat eksperimen mengenai topik yang dipelajari.

   Aktiviti ini amat menarik perhatian saya dan ini juga dapat mengukuhkan hubungan kami sesama ahli kelas. Selepas subjek Kimia, saya bersama rakan-rakan MTP yang lain pergi ke dewan serbaguna bagi membantu kaunselor mengendalikan program orientasi bagi pelajar Asas 1 dan Tahap 1 yang baharu. Tugas yang diberikan kepada mereka ialah membina bangunan yang kukuh dengan menggunakan penyedut minuman, spaghetti, salotep dan gunting.

    Aktiviti ini ingin menunjukkan kebolehan mereka berada dalam satu kumpulan untuk menyiapkan tugasan tersebut. Pelbagai cara yang digunakan untuk membolehkan bangunan tersebut berada dalam keadaan teguh dan kukuh. Mereka diberikan masa selama 30 minit bagi menyediakan bangunan tersebut. Selepas masa tamat, setiap ketua kumpulan dikehendaki membawa hasil bangunan mereka dan memberikan deskripsi mengenai bangunan mereka.

    Selepas itu, bangunan mereka akan diuji dengan meletakkan 10 helai kertas A4 di atasnya, kemudian 10 helai lagi kertas A4 dan semakin bertambah sehingga menjadi 200 helai kertas A4. Kumpulan yang tidak tumbang sehingga 200 helai kertas A4 itu diletakkan akan dikira sebagai pemenang. Sebanyak enam kumpulan yang berjaya dan dinobatkan sebagai pemenang.

    Kemudian, tibalah waktu rehat bagi pukul 10 pagi dan saya menyambung sesi pembelajaran seperti biasa dengan subjek Kalkulus yang diajar oleh Cikgu Aqilah. Setelah itu, kami mempunyai subjek Biologi. Semasa subjek Biologi, kami juga mengadakan eksperimen mengenai kentang. Eksperimen ini sangat menyeronokkan.

    Pada waktu petang, kami mempunyai latihan drama untuk subjek Bahasa Inggeris yang bertajuk What Had Happened to Lulu. Selepas itu, kami mengikuti aktiviti orientasi pelajar baharu. Pada waktu malam, kami menyambung kembali latihan drama Bahasa Inggeris untuk dipersembahkan pada esok hari.

HARI PERTAMA

   Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Hari ini merupakan hari pertama orientasi bagi pelajar baharu dari Asas 1 dan Tahap 1. Mereka yang berjumlah 170 pelajar dengan pelbagai ragam dan gaya pemikiran amatlah menghiburkan hati kami semua.
   Pada awal pagi, mereka mempunyai slot bersama Majlis Tertinggi Pelajar bagi memperbaiki nyanyian lagu Anak Permata. Dengan hasil kerjasama daripada semua MTP yang hadir, slot ini berjalan dengan lancar. Selepas itu, kami menyerahkan majlis kepada para kaunselor Kolej Permata Pintar.
   Mereka dibahagikan kepada 17 kumpulan dan setiap kumpulan akan mendapat tugasan yang amat menarik serta mereka perlu membentangkan tugasan tersebut di atas pentas. Sepanjang tugasan ini dibincangkan, kami dapat melihat bagaimana tindakan ahli kumpulan yang lain ketika salah seorang ahli kumpulannya ingin mengutarakan pendapat.
   Dengan itu, slot ini pun berakhir pada pukul 10.00 pagi dan mereka bergerak ke dewan makan untuk minum pagi. Selepas itu, kami menyambung sesi pembelajaran seperti biasa. Pelajar baharu dari Asas 1 dan Tahap 1 pula meneruskan slot mereka dengan taklimat daripada Puan Afifah dan Puan Aishah selaku Hal Ehwal Pelajar dan Hal Ehwal Akademik Kolej Permata Pintar.
   Setelah selesai sesi pembelajaran pada waktu pagi, kami makan tengah hari seperti biasa di dewan makan. Pada pukul 2.00 petang, kami meneruskan sesi pembelajaran dengan subjek Bahasa Antarabangsa dan Kalkulus. Manakala bagi pelajar baharu Asas 1 dan Tahap 1, mereka diberi kesempatan untuk meneroka kawasan Pusat Permata Pintar Negara. Mereka dibawa mengelilingi kawasan tersebut agar memudahkan mereka untuk mencari kelas apabila sesi pembelajaran berlangsung.
    Pada pukul 4.00 petang, mereka diarahkan berkumpul di dewan serbaguna bagi acara senamrobik. Acara senamrobik ini dikendalikan oleh pelajar Asas 3. Pelajar Asas 1 dan Tahap 1 yang baharu amat memberi sokongan yang sepenuhnya kepada pelajar lelaki Asas 3. Selepas itu, mereka dibolehkan untuk melakukan aktiviti bebas seperti beriadah, berjogging dan sebagainya.
   Pada waktu malam pula, kami, MTP mengadakan slot suai kenal jawatan serta nama kami kepada pelajar baharu. Kami berikan mereka sehelai kertas bagi mereka meneka dan mengisi sepenuhnya carta organisasi tersebut. Aktiviti ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan mendapat sambutan daripada pelajar baharu. Sekian, terima kasih.