BERMULANYA DI SINI

   Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Hari ini merupakan hari yang agak memenatkan.
Pada awal pagi, saya meneruskan rutin harian seperti biasa. Selepas perhimpunan, kami mengikuti kelas pembelajaran seperti biasa iaitu dengan subjek Kimia yang diajar oleh Cikgu Md Nor. Waktu Kimia pada hari ini amat menarik kerana kami membuat eksperimen mengenai topik yang dipelajari.

   Aktiviti ini amat menarik perhatian saya dan ini juga dapat mengukuhkan hubungan kami sesama ahli kelas. Selepas subjek Kimia, saya bersama rakan-rakan MTP yang lain pergi ke dewan serbaguna bagi membantu kaunselor mengendalikan program orientasi bagi pelajar Asas 1 dan Tahap 1 yang baharu. Tugas yang diberikan kepada mereka ialah membina bangunan yang kukuh dengan menggunakan penyedut minuman, spaghetti, salotep dan gunting.

    Aktiviti ini ingin menunjukkan kebolehan mereka berada dalam satu kumpulan untuk menyiapkan tugasan tersebut. Pelbagai cara yang digunakan untuk membolehkan bangunan tersebut berada dalam keadaan teguh dan kukuh. Mereka diberikan masa selama 30 minit bagi menyediakan bangunan tersebut. Selepas masa tamat, setiap ketua kumpulan dikehendaki membawa hasil bangunan mereka dan memberikan deskripsi mengenai bangunan mereka.

    Selepas itu, bangunan mereka akan diuji dengan meletakkan 10 helai kertas A4 di atasnya, kemudian 10 helai lagi kertas A4 dan semakin bertambah sehingga menjadi 200 helai kertas A4. Kumpulan yang tidak tumbang sehingga 200 helai kertas A4 itu diletakkan akan dikira sebagai pemenang. Sebanyak enam kumpulan yang berjaya dan dinobatkan sebagai pemenang.

    Kemudian, tibalah waktu rehat bagi pukul 10 pagi dan saya menyambung sesi pembelajaran seperti biasa dengan subjek Kalkulus yang diajar oleh Cikgu Aqilah. Setelah itu, kami mempunyai subjek Biologi. Semasa subjek Biologi, kami juga mengadakan eksperimen mengenai kentang. Eksperimen ini sangat menyeronokkan.

    Pada waktu petang, kami mempunyai latihan drama untuk subjek Bahasa Inggeris yang bertajuk What Had Happened to Lulu. Selepas itu, kami mengikuti aktiviti orientasi pelajar baharu. Pada waktu malam, kami menyambung kembali latihan drama Bahasa Inggeris untuk dipersembahkan pada esok hari.