LATIHAN PEMENGGALAN AYAT

LATIHAN PEMENGGALAN AYAT

Sambung ayat-ayat pendek dalam petikan di bawah ini supaya menjadi tiga ayat saja tanpa mengubah susunan dan makna asal ayat-ayat tersebut.

Latihan 1:

Beberapa jenis binatang liar menghuni hutan belantara negara kita. Binatang-binatang liar tersebut menjadi penghuni hutan sejak beberapa lama dulu. Kini binatang liar tersebut menghadapi kepupusan. Kepupusan ini berpunca daripada kegiatan manusia. Manusia berburu sesuka hati mereka. Kepupusan berpunca daripada kegiatan pembangunan. Antara langkah untuk membendung kepupusan hidupan liar adalah dengan mengadakan kempen kesedaran. Penyelidikan terhadap hidupan liar juga boleh dilakukan.


  1. Beberapa jenis binatang liar menghuni hutan belantara negara kita sejak beberapa lama dulu.
  2. Kini binatang liar tersebut menghadapi kepupusan yang berpunca daripada kegiatan manusia seperti berburu sesuka hati mereka dan kegiatan pembangunan.
  3. Antara langkah untuk membendung kepupusan hidupan liar adalah dengan mengadakan kempen kesedaran dan penyelidikan terhadap hidupan liar.
Latihan 2:

Televisyen merupakan salah satu media sebaran am. Televisyen direka untuk memberikan manfaat kepada manusia. Manfaat tersebut adalah dalam pelbagai aspek. Malangnya, akhir-akhir ini kemunculan televisyen dikatakan membawa pelbagai masalah pula. Pelbagai penyelidikan terhadap kesan televisyen kepada masyarakat telah dilakukan. Hasil penyelidikan tersebut menunjukkan bahawa adegan-adegan ganas dalam siaran televisyen dapat mempengaruhi masyarakat. Malangnya, para penerbit filem masih membisu terhadap hasil penyelidikan tersebut. Mereka menegaskan bahawa para penonton terhibur oleh adegan-adegan yang dipaparkan.

  1. Televisyen merupakan salah satu media sebaran am yang direka untuk memberikan manfaat kepada manusia dalam pelbagai aspek.
  2. Akhir-akhir ini kemunculan televisyen dikatakan membawa pelbagai masalah kepada masyarakat dan hasil penyelidikan menunjukkan bahawa adegan-adegan ganas dalam siaran televisyen dapat mempengaruhi masyarakat.
  3. Para penerbit filem masih membisu terhadap hasil penyelidikan tersebut dan menegaskan bahawa para penonton terhibur oleh adegan-adegan yang dipaparkan.
Latihan 3:

Unsur-unsur keganasan terdapat dalam rancangan-rancangan di televisyen. Rancangan-rancangan tersebut disiarkan oleh RTM. Rancangan-rancangan tersebut terdapat di TV3 juga. Sejak akhir-akhir ini penyiaran rancangan yang bercorak keganasan itu meningkat. Hal ini membimbangkan ibu bapa. Mereka bimbang kalau-kalau unsur-unsur tersebut mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dan golongan remaja. Golongan-golongan ini belum bijak menilai sesuatu yang baik. Mereka tidak bijak menilai sesuatu yang buruk juga.

  1. Unsur-unsur keganasan terdapat dalam rancangan-rancangan di televisyen yang disiarkan oleh RTM dan di TV3 juga.
  2. Sejak akhir-akhir ini penyiaran rancangan yang bercorak keganasan itu meningkat dan membimbangkan ibu bapa kalau-kalau unsur-unsur tersebut mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dan golongan remaja.
  3. Golongan-golongan ini belum bijak menilai sesuatu yang baik dan buruk.
Latihan 4:

Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan pendidikan asas komputer. Pendidikan ini adalah untuk para pelajar di negara ini. Langkah Kementerian Pendidikan ini dialu-alukan oleh ibu bapa. Hal ini kerana langkah ini dapat membantu mengisi kekosongan dalam bidang berkenaan. Kekosongan tersebut ketara sekali di sekolah luar bandar. Banyak pihak yang berharap agar langkah kerajaan ini memberikan peluang kepada pelajar luar bandar mempelajari komputer. Langkah ini diharapkan dapat menarik minat pelajar mendalami bidang komputer juga.

  1. Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan pendidikan asas komputer untuk para pelajar di negara ini.
  2. Langkah Kementerian Pendidikan ini dialu-alukan oleh ibu bapa demimengisi kekosongan dalam bidang berkenaan yang ketara sekali di sekolah luar bandar.
  3. Banyak pihak yang berharap agar langkah kerajaan ini memberikan peluang kepada pelajar luar bandar mempelajari komputer dan menarik minat pelajar mendalami bidang komputer.
Latihan 5:

Bercuti ke Pulau Sayak ialah judul sebuah buku. Buku ini tergolong dalam jenis novel kanak-kanak. Buku ini dikarang oleh Darulsalam. Buku ini terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Bercuti ke Pulau Sayak menceritakan kisah seorang budak lelaki bernama Syahid bersama-sama dengan rakannya. Mereka bercuti ke Pulau Sayak. Mereka terlibat dengan satu kumpulan penyeludup tanpa disedari. Nasib mereka baik kerana akhirnya mereka berjaya menewaskan kumpulan itu.

  1. Bercuti ke Pulau Sayak ialah judul sebuah buku novel kanak-kanak yangdikarang oleh Darulsalam.
  2. Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ini menceritakan kisah seorang budak lelaki bernama Syahid bersama-sama dengan rakannya bercuti ke Pulau Sayak.
  3. Mereka terlibat dengan satu kumpulan penyeludup tetapi nasib mereka baik kerana akhirnya mereka berjaya menewaskan kumpulan itu.
Latihan 6:

Pembangunan yang dicapai oleh Malaysia begitu pesat. Kepesatan ini berlaku sejak beberapa tahun yang lalu. Kestabilan ekonomi Malaysia pula berterusan. Faktor-faktor ini mendorong rakyat asing datang ke sini. Kedatangan mereka adalah untuk mencari rezeki. Dengan memiliki taraf kerakyatan, mereka dapat menikmati pelbagai keistimewaan yang disediakan. Keistimewaan-keistimewaan itu dipandang ringan oleh segolongan rakyat asing.

  1. Pembangunan yang dicapai oleh Malaysia begitu pesat beberapa tahun yang lalu serta kestabilan ekonomi Malaysia pula berterusan.
  2. Faktor-faktor ini mendorong rakyat asing datang ke sini untuk mencari rezeki.
  3. Dengan memiliki taraf kerakyatan, mereka dapat menikmati pelbagai keistimewaan yang disediakan walaupun keistimewaan-keistimewaan itu dipandang ringan oleh segolongan rakyat asing.
Latihan 7:

Pencemaran alam berlaku pada tahap yang serius. Keadaan ini mencemaskan manusia di seluruh dunia. Pencemaran tersebut berpunca daripada sifat haloba manusia. Manusia memperlakukan bumi sewenang-wenangnya. Tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk mengaut keuntungan. Pencemaran alam ini mengakibatkan berlakunya pelbagai fenomena ganjil. Fenomena-fenomena tersebut termasuklah peningkatan suhu dan penipisan lapisan ozon.

  1. Pencemaran alam berlaku pada tahap yang serius dan keadaan ini mencemaskan manusia di seluruh dunia.
  2. Pencemaran tersebut berpunca daripada sifat haloba manusia yangmemperlakukan bumi sewenang-wenangnya untuk mengaut keuntungan.
  3. Pencemaran alam ini mengakibatkan berlakunya pelbagai fenomena ganjil termasuklah peningkatan suhu dan penipisan lapisan ozon.

HARI KE-2

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
    Pada hari Selasa yang lepas, minggu ini merupakan minggu sukantara. Pada awal pagi, kami mempunyai sesi pembelajaran seperti biasa. Mulanya, kami mempelajari subjek Kalkulus, Pendidikan Agama Islam dan Bahasa Inggeris.
    Selepas rehat pula, kami belajar subjek Biologi, Sejarah dan Jati Diri. Pada sebelah petang, mengikut jadual asal, kami akan melakukan  acara sukantara lontar peluru dan 100m di padang. Tetapi disebabkan hujan, Exco Sukan mendahulukan acara badminton dan ping pong secara beregu bagi setiap kategori pada petang tersebut.
    Selepas pukul 5.30 pula, hujan pun reda dan kami bergerak ke padang bagi acara sukantara 100m. Pada waktu malam, kami diberi pengecualian bagi waktu prep kerana ada acara badminton dan ping pong suku final bagi setiap kategori. Alhamdulillah acara pada hari tersebut berjalan dengan lancar.

LATIHAN CAKAP AJUK DAN CAKAP PINDAH

Tulis semula perbualan di bawah ke dalam bentuk karangan biasa dengan menggunakan cakap pindah.

Latihan 1:

“ Bagaimana dengan rancangan awak ? “ tanya Salleh.
“ Rancangan apa? “ jawab Ani.
“ Rancangan mendaki gunung yang awak kata pada saya tempoh hari, “ kata Salleh.
“ Oh, itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Sabtu depan. “ jelas Ani.
“ Bagus Ani, bagus. Saya sokong rancangan itu ! “
Ani tersenyum puas apabila mendengar kata-kata sahabat karibnya itu.

Jawapan:

Salleh bertanya kepada Ani tentang rancangannya. Ani meminta penerangan tentang rancangan yang ditanya Salleh. Salleh menjelaskan kepada Ani tentang rancangan Ani mendaki gunung yang diberitahu Ani dahulu. Ani menjelaskan bahawa rancangan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat pada Sabtu hadapan. Salleh memuji dan menyokong rancangan Ani. Ani tersenyum puas apabila mendengar kata-kata sahabat karibnya itu.

Latihan 2:

“Ani tak ada sapa-sapa. Ani sorang.......”
“Ani tak boleh tinggal sini.Di sini bahaya,” kata Tuk Yahya sambil meneliti mata belolok anak itu.
“Ani tak ada sapa-sapa,” rengek Ani lagi.
“Ya, Tuk Yahya tahu.........”
“Ani tak mahu tinggal di rumah lagi.Nanti bom jatuh lagi. Datuk tak ada, datuk tak ada”,jelas anak itu hampir meraung.
“Ani ada Tuk Yahya, Ani ada comot,” pujuk Tuk Yahya.

Jawapan:

Ani menyatakan bahawa dia tidak mempunyai sesiapa dan keseorangan. Tok Yahya menjelaskan kepada Ani bahawa Ani tidak boleh tinggal di sini kerana bahaya sambil meneliti mata belolok Ani. Ani merengek lagi mengatakan dia tidak mempunyai sesiapa. Tok Yahya mengiakan kata-kata Ani. Ani hampir meraung menjelaskan bahawa Ani tidak mahu tinggal di rumah itu lagi kerana takut bom akan jatuh lagi. Tambahan pula, datuk Ani sudah meninggal. Tuk Yahya memujuk Ani dengan memberitahu Ani bahawa Ani masih mempunyai Tuk Yahya dan comot.

Latihan 3:

“Salim, mengapakah awak kelihatan muram sahaja?” tanya Nizam.
“Pagi tadi, Cikgu Khairul bertanyakan saya tentang yuran peperiksaan yang masih belum saya bayar,” beritahu Salim dengan perasaan sayu.
“Eh, bukankah awak mendapat biasiswa! Mengapakah kamu tidak gunakan duit tersebut untuk membayar yuran?” tanya Nizam dengan perasaan hairan.
“Duit biasiswa itu telah saya gunakan untuk perbelanjaan rawatan abang saya yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini,” jelas Salim.
“Oh begitu! Salim, saya cadangkan awak berjumpa dengan Cikgu Khairul dan jelaskan perkara yang sebenarnya,” kata Nizam.
“Tapi, saya takutlah Nizam. Cikgu Khairul tu garang sangat,” kata Salim......

Jawapan:

Nizam bertanya kepada Salim yang kelihatan muram tentang masalah Salim. Salim dengan perasaan sayu memberitahu Nizam bahawa Cikgu Khairul bertanya tentang yuran peperiksaan yang masih belum dibayar. Nizam terkejut dan hairan kerana Salim mempunyai biasiswa tetapi duit biasiswa itu tidak digunakan untuk membayar yuran. Salim menjelaskan bahawa duit biasiswa itu telah gunakan untuk perbelanjaan rawatan abangnya yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini. Nizam mencadangkan Salim berjumpa dengan Cikgu Khairul dan jelaskan perkara yang sebenarnya. Salim enggan dan takut untuk berjumpa Cikgu Khairul kerana Salim mengatakan bahawa beliau merupakan seorang guru yang amat garang.

Latihan 4:

MAWI : Wah, sedap betul mi ini. Apa namanya ?
FELIX : Mi Pedas.
MAWI : Yalah ,minya pedas.Memang pedas......... tapi apa namanya ?
FELIX : Mi pedas. Si Dolah tu kata namanya Mi Pedas.
MAWI : Oh begitu, jadi kau masuk ke kedai ini sengaja nak makan Mi Pedaslah?
FELIX : Yalah. Kan aku dah janji nak belanja kau dulu.Inilah dia.

Jawapan:

Mawi kagum dengan keenakan mi itu lalu bertanya akan nama mi tersebut. Felix memberitahu Mawi bahawa nama mi itu ialah Mi Pedas. Mawi mengatakan dia tahu bahawa mi itu pedas dan bertanya sekali lagi akan nama mi tersebut. Felix menjawab bahawa nama mi yang pedas itu ialah Mi Pedas menurut Si Dollah. Mawi mengiakan jawapan Felix lalu bertanya kepada Felix tentang kebenaran tujuannya masuk ke kedai itu semata-mata untuk makan Mi Pedas sahaja. Felix mengiakan dan menyatakan bahawa dia telah berjanji untuk membelanja Mawi makan dahulu.

Latihan 5:

Norhayati ......: Syikin, mengapa Syikin tidak datang ke sekolah semalam?
Norasyikin.... : Syikin minta maaflah. Semalam Syikin ada hal di rumah.
Norhayati ......: Apa halnya? Ceritakanlah kepada Yati. Andainya susah, sama-samalah kita
...........................tanggung. Bukankah kita sudah lama berkawan?
Norsyikin ......: Sebenarnya ibu Syikin sakit.

Jawapan:

Norhayati bertanya kepada Norsyikin tentang sebab dia tidak datang ke sekolah semalam. Syikin meminta maaf lalu menjelaskan bahawa semalam dia mempunyai hal di rumah. Norhayati bertanya akan hal tersebut dan meminta Syikin menceritakan perkara yang berlaku kepadanya. Norhayati berjanji akan bersama-sama menanggung kesusahan kerana mereka sudah lama berkawan. Syikin menjawab bahawa ibunya sakit.


Tulis semula petikan di bawah dalam bentuk cakap ajuk. Anda dikehendaki mengekalkan susunan isi dalam petikan ini.

Latihan 1:

Kamariah berkata kepada Aziz dan Samad bahawa negara Malaysia memang banyak mempunyai tempat menarik untuk dikunjungi. Pendapatnya itu disokong oleh samad dengan mengatakan bahawa negara ini mempunyai pantai-pantai yang bersih dan hutan semula jadi yang indah. Aziz pula menyatakan kehairanannya tentang ramai orang Malaysia yang masih suka melancong ke luar negara seperti ke Indonesia, Thailand, Singapura dan negara-negara Eropah. Kamariah menyetujui pandangan itu. Samad berpendapat mungkin keadaan ini berlaku kerana kurangnya promosi untuk menarik pelancong tempatan melancong di dalam negeri. Aziz bersetuju dengan pendangan Samad itu. Kamariah pula mencadangkan supaya pihak swasta seperti pusat-pusat pelancongan tempatan memberi potongan harga istimewa kepada pelancong tempatan yang mengunjungi pusat percutian mereka. Samad pula mengatakan bahawa di samping itu, kesedaran rakyat Malaysia tentang faedah melancong di dalam negeri perlu ditanam dalam diri. Kamariah dan Samad mengiakan pendapat itu.

Jawapan:

Kamariah : Negara Malaysia memang banyak tempat menarik untuk dikunjungi.
Samad : Betul. Negara ini ada pantai-pantai yang bersih dan hutan semula jadi yang indah.
Aziz : Ramai orang Malaysia yang masih suka melancong ke luar negara seperti ke Indonesia, Thailand, Singapura dan negara-negara Eropah.
Samad : Pada pendapat saya,  mungkin keadaan ini berlaku kerana kurangnya promosi untuk menarik pelancong tempatan melancong di dalam negeri.
Kamariah : Pihak swasta seperti pusat-pusat pelancongan tempatan haruslah memberi potongan harga istimewa kepada pelancong tempatan yang mengunjungi pusat percutian mereka.
Samad : Selain itu, kesedaran rakyat Malaysia tentang faedah melancong di dalam negeri perlu ditanam dalam diri.
Kamariah : Betul.

Latihan 2:
Mak Limah bertanya arah tujuan suaminya setelah melihat suaminya itu dalam keadaan tergesa-gesa hendak keluar. Pak Usop mengatakan bahawa dia hendak berjumpa dengan ahli-ahli jawatankuasa Koperasi Maju. Mak Limah mencadangkan agar suaminya makan nasi dahulu walaupun sibuk dengan kerja kerana dia takut suaminya akan berasa lapar . Pak Usop memberitahu ii itsterinya bahawa dia hendak meletakkan jawatan sebagai pemandu bas koperasi itu. Mak Limah bertanya cara suaminya hendak mendapatkan pekerjaan sekiranya dia berhenti kerja. Pak Usop menjelaskan bahawa dia hendak memohon pinjaman daripada pihak MARA untuk membeli sebuah bas.

Jawapan:

Mak Limah : Abang tergesa-gesa mahu keluar ke mana?
Pak Usop : Abang hendak berjumpa dengan ahli-ahli jawatankuasa Koperasi Maju.
Mak Limah : Makanlah nasi ini dahulu walaupun sibuk dengan kerja, nanti kelaparan.
Pak Usop : Abang hendak meletakkan jawatan sebagai pemandu bas koperasi itu.
Mak Limah : Selepas berhenti kerja mahu kerja apa?
Pak Usop : Abang hendak memohon pinjaman daripada pihak MARA untuk membeli sebuah bas.

LATIHAN PERIBAHASA

Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.

Latihan 1:

1. bagaikan kera mendapat bunga
MAKSUD: tidak tahu menghargai pemberian orang lain.
AYAT: Ahmad bagaikan kera mendapat bunga kerana dia tidak menjaga hadiah yang dihadiahkan oleh ibunya dengan baik.

2. kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit
MAKSUD: disebabkan seorang berbuat keburukan, nama kumpulan menjadi buruk.
AYAT: Sikap Abu yang selalu mengganggu gadis-gadis di kampung itu telah merosakkan nama keluarganya kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit.

3. burung terbang dipipiskan lada
MAKSUD: mengharapkan sesuatu yang belum pasti.
AYAT: Ayah menyindir Abu yang seperti burung terbang dipipiskan lada kerana banyak sangat keinginan dan rancangan yang ingin dilakukan tetapi dia tidak mempunyai sebarang kemahiran.

4. menegakkan benang yang basah
MAKSUD: cuba menegakkan sesuatu yang salah atau tidak benar.
AYAT: Peguam tersebut cuba menegakkan benang yang basah walaupun dia telah mengetahui bahawa pesalah itu memang bersalah.

5. bagaikan telur dihujung tanduk
MAKSUD: dalam keadaan yang berbahaya.
AYAT: Keadaan Ali bagaikan telur di hjung tanduk kerana asyik dikejar oleh along.

6. ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
MAKSUD: orang berilmu yang merendah diri tidak akan hilang ilmunya.
AYAT: Walaupun dia seorang yang bijak tetapi dia sentiasa merendah diri dengan rakan-rakannya seperti ular menyusur akan tidak akan hilang bisanya.

7. bagaikan tikus jatuh di kepuk
MAKSUD: mendapat keuntungan yang banyak secara tiba-tiba.
AYAT: Alia bagaikan tikus jatuh di kepuk kerana baru sahaja mendapat cabutan bertuah sebuah motosikal pada hari Ahad yang lepas.

8. matinya semut kerana gula
MAKSUD: mendapat kesusahan kerana tamak akan harta benda.
AYAT: Akibat terlalu tamak akan harta kekayaan dunia, hidupnya kini tunggang-langgang kerana matinya semut kerana gula.

9. air dicincang tidak akan putus
MAKSUD: pergaduhan  di antara adik-beradik tidak akan berpanjangan tetapi akan berbaik semula.
AYAT: Walaupun Iqbal dan Hafiz selalu bergaduh, tetapi akhirnya mereka akan berbaik semula kerana air dicincang tidak akan putus.

10. bagaikan embun di hujung rumput
MAKSUD: kasih sayang yang tidak berkekalan
AYAT: Cinta Zahid kepada Waheeda bagaikan embun di hujung rumput dan tidak berkekalan.

Latihan 2:

1. seperti mendukung biawak hidup
MAKSUD: membuat pekerjaan yang menyusahkan diri
AYAT: Tindakan seorang ketua yang selalu memberikan arahan yang pelik-pelik seperti mendukung biawak hidup.

2. sudah jatuh ditimpa tangga
MAKSUD: menerima nasib malang/kesusahan yang bertimpa-timpa/berterusan
AYAT: Liana bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga kerana selepas tergelincir di atas lantai yang licin, kasut tumit tingginya telah rosak.

3. kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan
MAKSUD: mengutamakan orang lain daripada keluarga sendiri
AYAT: Sikap Razi yang selalu membelanja teman perempuannya dengan mewah seperti kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan kerana  adik-beradiknya di kampung sendiri hidup dalam kedaifan.

4. ditelan mati emak, dibuang mati bapa
MAKSUD: dalam keadaan yang serba salah
AYAT: Ying tidak tahu hendak membuat keputusan sama ada ingin melanjutkan pelajarannya ke luar negara ataupun tidak kerana maknya sedang sakit seperti ditelan mati emak, dibuang mati bapa.

5. kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah
MAKSUD: berbuat baik kerana sesuatu sebab yang tersembunyi
AYAT: Wahid berbuat baik terhadap Intan kerana kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah.

6. bagaikan anjing dengan bayang-bayang
MAKSUD: orang yang tamak akan rugi.
AYAT: Jangan terlalu tamak bagaikan anjing dengan bayang-bayang kerana diri sendiri yang akan rugi nanti.

7. sekilas ikan di air, sudah ku tahu jantan betina
MAKSUD: telah tahu keadaan sebenar walaupun hanya melihat luaran sahaja.
AYAT: Ibu bagaikan sekilas ikan di air, ku tahu jantan betina kerana dia telah melahirkan kita dan sangat masak dengan perangai kita.

8. genggam bara api biar sampai menjadi arang
MAKSUD: membuat kerja bersungguh-sungguh sehingga mendatangkan hasil
AYAT: Belajarlah dengan tekun hingga mencapai menara gading umpama genggam bara api biar sampai menjadi arang.

9. bagai mencurah air ke daun keladi
MAKSUD: membuat kerja dengan sia-sia
AYAT: Menasihati pelajar yang degil bagai mencurah air ke daun keladi.

10. kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak
MAKSUD: dapat melihat kesalahan orang lain sekecil apapun namun kekurangan diri sendiri tidak disedari.
AYAT:  Kita janganlah sentiasa menyalahkan orang lain sedangkan kita tidak sempurna  seperti kuman di seberang laut nampak, gajahdi depan mata tak nampak.

 Latihan 3:

1. Bagaikan lalat mengharung najis/ tahi
MAKSUD: di mana ada punca rezeki / keramaian, di situ tempat orang berkumpul.
AYAT: Di tempat orang menjual loteri itu terlalu ramai orang berkumpul bagaikan lalat mengharung najis.

2. Seperti cendawan tumbuh selepas hujan
MAKSUD: pembangunan yang bertumbuh dengan pesat.
AYAT: Sejak Putrajaya dimajukan, kawasan Bangi semakin maju seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

3. sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain
MAKSUD: usaha gigih yang berterusan.
AYAT: Jika kita gigih berusaha, kita akan mencapai kejayaan yang diinginkan seperti sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain.

4. seperti pelanduk dua serupa
MAKSUD: mempunyai wajah yang serupa.
AYAT: Saya menegur orang itu kerana menyangkakanya Daud sedangkan dia hanya pelanduk dua serupa.

5. melentur buluh biarlah dari rebungnya
MAKSUD: mendidik anak biarlah sejak dari kecil.
AYAT: Kita hendaklah mengamalkan amalan menabung sejak kecil seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya.

6. seperti ular kena palu
MAKSUD: barisan yang bengkang-bengkok.
AYAT: Pengawas tersebut telah memarahi pelajar-pelajar kerana beratur dalam barisan yang bengkang-bengkok seperti ular kena palu.

7. mati semut kerana gula
MAKSUD: mendapat kesusahan kerana tamak akan harta benda.
AYAT: Akibat terlalu tamak akan harta kekayaan dunia, hidupnya kini tunggang-langgang kerana matinya semut kerana gula.

8. bagai mendapat durian runtuh
MAKSUD: mendapat keuntungan dengan banyak.
AYAT: Nizam bagai mendapat durian runtuh setelah diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah sebuah kereta.

9. umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain
MAKSUD: dua orang yang rapat bergaul tetapi mempunyai cita-cita yang berbeza.
AYAT: Walaupun Yuen dengan Ying sangat rapat, tetapi mereka mempunyai impian yang berbeza.

10. mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan
MAKSUD: mendengar suatu keuntungan yang belum pasti, apa yang telah ada dibuang/ditinggalkan.
AYAT: Aiman seperti mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan kerana dia belum pasti akan pekerjaan baharunya tetapi dia telah berhenti kerja lamanya.

Latihan 4:

Beri peribahasa yang sesuai dengan ayat yang dinyatakan tersebut.

1. Kata-kata dan janji manis yang diberi oleh calon yang bertanding dalam pilihanraya itu tidak disukai oleh penduduk di kawasan itu kerana janji yang ditabur tersebut mempunyai maksud yang tertentu.

PERIBAHASA: Seperti menanam tebu di tepi bibir.

2. Selepas pertandingan memilih calon wakil rakyat itu berakhir, semua pihak yang bermusuhan telah berbaik-baik semula seperti sediakala.

PERIBAHASA: Biduk berlalu kiambang bertaut.

3. Walaupun sudah sepuluh tahun berhijrah ke luar negara untuk mencari rezeki, namun kehidupan Encik Izkram masih juga susah apabila dia pulang ke kampung halamannya.

PERIBAHASA: Bagai itik pulang petang.

4. Walaupun berbadan besar dan kelihatan garang namun sebenarnya En. Mohd. Ramsul seorang guru yang baik hari ,lemah lembut, dan penyanyang.

PERIBAHASA: Meriam buluh

5. Walaupun keluarga Encik Mohd. Salam cuba menyembunyikan kisah anaknya terlibat dalam rasuah, namun akhirnya rahsia tersebut tersebar juga kepada orang ramai.

PERIBAHASA: Mulut tempayan boleh ditutup, mulut orang tidak boleh ditutup.

6. Hanya Husaini sahaja yang nakal di kelas itu tetapi semua pelajar di sekolah itu menganggap pelajar kelas tersebut sebagai kelas pelajar-pelajar nakal.

PERIBAHASA: Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

7. Walaupun asalnya Saidiyah seorang pelajar yang lembam namun setelah diajar dengan bersungguh- sungguh oleh guru-gurunya, akhirnya dia berjaya dalam peperiksaan itu dengan cemerlang.

PERIBAHASA: Belakang parang jika diasah lagikan tajam.

8. Farislullah seorang pelajar yang tidak tahu bermain badminton tetapi cuba mengambil bahagian dalam pertandingan badminton peringkat Daerah Perak Tengah.

PERIBAHASA: Kalau kail panjang sejengkal, laut usah diduga.

9. Setelah merantau di India lebih tujuh tahun, akhirnya Faleh pulang dan menetap semula di kampungnya yang terletak di Negeri Sembilan.

PERIBAHASA: Bagai ikan pulang ke lubuk.

10. Perbuatan Syaidiyah menasihati kekasihnya yang bernama Farislullah supaya berhenti merokok sia-sia sahaja kerana tidak diendahkan sama sekali oleh kekaksihnya itu.

PERIBAHASA: Bagai mencurah air ke daun keladi.